Monday, April 27, 2009

YA ALLAH ANUGERAHKAN KEPADA AKU SEKUMTUM BUNGA DAN SEEKOR RAMA-RAMA

Hari ini ana nak kongsikan satu cerita seorang pemuda yang serabut dan stress dengan kerenah kehidupan. Namun begitu pemuda ni masih lagi mampu menadah tangan mengharap kepada tuhan agar memberi pertolongan kepadanya.

Dalam doanya, dia memohon kepada Allah agar diberikan kepadanya sekumtum bunga mawar dan seekor rama-rama yang cantik agar mampu memberikan ketengan dalam hidupnya. Selepas sekian lama berdoa, akhirnya dengan kesungguhan pemuda ini berdoa dan bergantung harap kepada Allah akhirnya, apabila esok paginya setelah dia bangun daripada tidur, didepan taman rumahnya Allah telah berikan kepadanya sepohon pokok kaktus. Pemuda itu pun terkejut sambil menggaru kepalanya… aduh yang ku pohon bunga, bukan pokok kaktus yang berduri ni… tak cantik pulak tu.. tetapi yang ku dapat pokok ini pulak. Permintaan kedua pemuda ini iaitu rama-rama jugak tidak dapat, tetapi Allah berikan kepadanya seekor ulat kecil. Terpapar raut wajahnya kesedihan, kerana permintaannya tidak dimakbulkan. terasa tidak dapat menerima kaktus dan ulat itu.

Namun sebagai seorang pemuda Islam yang beriman dengan Allah, menerima apa sahaja yang diberikan kepadanya. Pada ketika itu pemuda itu pun mendongak kelangit bersama ucapan syukur diatas pemberian Allah itu.

Hari demi hari beralu, setiap hari pemuda itu menyiram pokok kaktus agar subur dan tidak mati disebabkan dia. Ulat yang kecil sebelum ini, setiap hari diberi makan dengan harapan agar cepat besar.

Siang berganti malam, kerlipan bintang turut berlalu mengalah dek sang suria yang memacar cerita suka dan duka. Keperihatinan pemuda itu menjaga kaktus berduri dan ulat sejak beberapa lama dengan penuh sabar dan redha, akhirnya satu peristiwa yang tidak diduka berlaku. Setiap pagi, kaktus akan diintai dicelahan jendela, ulat dalam kurungan akan akan dijamu dengan sarapan. Tetapi pada hari itu dia terkejut sambil menangis kegembiraan. Apa yang berlaku sebenarnya…?

Kaktus yang berduri dan hodoh itu akhirnya mengeluarkan bunga yang sangat cantik. Ulat yang kerepot dahulunya kini sudah bertukar menjadi rama-rama yang sangat cantik dan menawan.

Begitu juga dengan kehidupan kita, terlalu banyak impian yang ingin kita capai. Terlalu banyak harapan dan cita-cita yang diidamkan agar berada dalam genggaman. Tetapi sering kali kita bertemu dengan kepayahan untuk mencapai apa yang dicitakan. Sehinggakan apa yang kita impikan tidak tercapai dan digantikan dengan perkara yang lain.

Apa yang kita sangka ia baik, kekadang kita tidak menyedari ia buruk kepada kita
Dan kita juga tidak menyangka perkara yang dibenci itu adalah yang terbaik bagi kita

Maka marilah kita husnu zon kepada Allah, kerana Allah sentiasa memberi hidayah dan petunjuk kepada mereka yang beriman dengannya.

Sunday, April 26, 2009

ADA APA PADA PEPERIKSAAN...?



Pencipta menguji hambanya

Setiap manusia akan diuji oleh Allah untuk melihat siapakah dikalangan hambanya tergolong dalam golongan yang berjaya untuk memiliki redha Allah. ujian Allah datang dalam pelbagai sudut, kekadang hadirnya dalam bentuk kesusahan, untuk menguji kesabaran dan redha dengan apa yang ada, dan kekadang ia hadir bertemu manusia dengan menyerupai kemewahan dan kejayaan.

Hadirnya dalam bentuk ini untuk menguji setinggi mana kesyukuran kita terhadap Allah diatas pemberian yang membahagiakan kita. Adakah kita lupa selama ini setiap apa yang Allah berikan kepada kita, samada sikit ataupun banyak, suka ataupun duka, berjaya ataupun gagal. ada hikmah disebaliknya.

Pensyarah menguji pelajarnya...

Sebagai seorang pelajar yang menuntut ilmu samada dalam bidang pengajian Islam ataupun perubatan... setiap detik kita membuka helaian kertas yang memaparkan ribuan fakta, setiap waktu yang kita peruntukkan untuk hadir ke dewan-dewan kuliah yang mendesak kita supaya menyimpannya dalam otak kita. Adakah hanya dengan kita menyimpan sahaja ia akan membuahkan hasil. Kematangan ilmu seseorang pelajar itu adalah diukur apabila dia berjaya memahami fakta yang disimpan dan kemudian menghubungkan dengan persekitarannya.

kotak yang didalamnya tersimpan emas tidak akan bernilai
sehinggalah emas itu dikeluarkan.

Maka peperiksaanlah dijadikan cara untuk pensyarah menilai siapakah dikalangan ratusan pelajarnya telah berjaya mencapai tahap kefahaman jelas dalam tajuk-tajuk perbincangan sebelum ini. penilaian ini dijadikan hasil kaji selidik para pensyarah


bagaimana kita melihat peperiksaan..

ana cuba klasifikasikan cara kita melihat peperiksaan:

sebagai proses kematangan ilmu


Kita kurang menyedari peperiksaan merupakan salah satu proses kematangan ilmu yang akan meletakkan kita sebagai seorang intelektual. selain daripada peperiksaan, proses kajian juga merupakan cara untuk mematangkan ilmu.

tanpa menolak kedua-dua proses ini memerlukan kepada penerimaan ilmu secara bermanhaj yang jelas sepertimana para ulamak kita mengambil dan memindahkan ilmu, iaitu menghadiri kelas-kelas muhadharah. inilah yang dicoretkan oleh imam As-syafei sebagai syarat untuk memiliki ilmu;

saudaraku tidak akan tercapai ilmu itu melainkan enam perkara#
aku akan ceritakan secara panjang lebar bersama penerangan#
bijaksana, haloba, kesungguhan, bekalan#
mendampingi guru, dan panjang waktu#

sebagai check point

Dalam satu petandingan merentas desa, terdapat beberapa check point yang perlu dilalui oleh para peserta untuk memartabatkan peserta itu sebagai pemenang. setiap check point ada ujian yang perlu dilaluinya, sekiranya peserta berjaya melepasi check point pertama, maka ia layak untuk bertemu check point kedua dan seterusnya. begitu juga dengan para mahasiswa ataupun pelajar dalam sistem pengajian universiti dan sekolah sekarang terdapat check point yang perlu dilalui untuk kita melepasinya dan melayakkan kita untuk bertemu dengan check point seterusnya dan menentukan kita sebagai seorang pemenang ataupun seorang yang tewas.

jika sudah bermula, maka kita berjumpa diakhirnya

Sebagai ujian amanah

Pernah tak kita bertemu dengan kes penangkapan pelajar yang meniru dalam dewan peperiksaan? kekadang rakan sebelah dengan meja kita yang ditangkap, kita yang berada disebelahnya menjadi seram sejuk tubuh, yer lah... takut kita pulak yang dikaitkan. kes ini berlaku kerana pelajar itu tidak melihat melihat peperiksaan itu sebagai amanah terhadap ilmuanya. jika dalam dewan peperiksaan sanggup melakukan peniruan dalam menjawab, bagaimana dia untuk berhadapan dengan masyarakat dan alam sekelilingnya. hanya semata-mata untuk mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan yang akan menjamin kesenangan hidup, berpangkat tinggi... maka kita yakin ilmu ini akan melaknat dia. dalam peperiksaan kita tidak semata-mata diuji dengan kematangan ilmu, tetapi, didalamnya terdapat ujian amanah, ujian kesabaran, ujian keihklasan.

Kita akan bersungguh-sungguh untuk menjawab dalam peperiksaan sekiranya kita berjaya menganggap peperiksaan sebagai amanah. amanah Allah... amanah ilmu, amanah ibu bapa, amanah masyarakat.

Sebagai medan perang

Berperang memerlukan kepada kelangkapan. Peralatan perang hendaklah membolehkan kita menewaskan pihak lawan. teringat kisah yang cukup hebat bermain-main dibibir para penceramah dan pendakwah. kisah panglima tentera islam salahuddin ayubi ketika ingin memilih para mujahidin untuk berada dalam barisan batalon yang akan bertempur pada keesokan harinya. berjalan sendirian pada malamya mencari khemah yang bersinar dengan lampu dan rintihan munajad kepada Allah. maka pada keesokan harinya mereka yang terpilih untuk berada dalam barisan tentera salahuddin adalah mereka yang matanya bengkak dengan tangisan munajad kepada tuhan. maka anggaplah peperiksaan sebagai medan perang.

bukankah banyak bertanya itu dianggap buta akan tetapi... banyak berdiam diri di dalam kejahilan itulah buta yang hakiki

Saturday, April 25, 2009

ISU MURTAD TANAH AIR... KITA AKAN MEMPERTAHANKANNYA.
(PENJELASAN DARI PMRAM)

sila layari lamam web rasmi pmram www.pmram.org
1.
PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

  1. Status agama tiga orang anak beliau iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).
  2. Hak penjagaan anak.
  3. Status perkahwinan selepas pengislaman.

2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.

Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ  قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:

a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].

b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]

c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.

3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.

Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]

Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut). Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:

1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)

2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.

2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.

4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI

4.1 Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya). Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].

Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].

Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 Hak Pemberian Nafkah[11]

  1. Nafkah kepada anak
    1. Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.
  2. Nafkah kepada isteri
    1. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.

Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Disediakan oleh;

Fellow MANHAL PMRAM 2009

Hasil kajian:

1. Saudara Syed Abdul Qadir Al-Jofree

2. Saudara Abd Rahman Mohd Tharin

3. Saudara Mohd Nazrul Abd Nasir

4. Saudara Hairul Nizam Mat Husain


[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.

[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.

Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.

Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.

[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah

[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.

[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985

[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.

[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.

[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.

[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.

ABANG! KITA USAHA LAGI...

suasana sepi malam diselembungi kegelapan menyerap masuk kesepian dalam diri. Datang si isteri dampingi suami dengan penuh kasih sayang. agar hadirnya dapat memberi sedikit ketenangan kepada suami yang tercinta… berbual berbicara pada cerita suka duka bersama, butir-butir air mata mula membasahi pipi, suara sayu tangisan diantara mereka mula beralun berlagu bersama cengkerik bermadah seperti pungguk yang rindukan bulan.


Isteri; abang! Sayang rasa sunyi jer hidup ini kan...

Suami; entahlah, abang terasa dalam kehidupan kita berdua ini macam ada yang kurang jer...

Isteri; abang! Kita cuba cari pakar lain pulak lah ya...sayang dengar kat kuantan ada satu klinik pakar untuk kes macam kita ni...

Suami; sayang!abang bukan tak nak lagi berusaha...tetapi kekadang datang putus asa dalam hidup abang ni...kita dah banyak berusaha...tapi kesudahan yang sama juga kita dapat.

Isteri; sikap putus asa tu kan tak baik kepada orang Islam, apalah abang ni... tak baiklah cakap begitu... Allah kan suruh kita sentiasa berusaha... mungkin disana ada hikmahnya...

Suami; Sayang! Abang mintak maap... abang rasa terlalu bersalah... insyalah, kita pergi ke Kuantan hujung minggu ni ya...insya Allah.

Ana cuba bawakan perasaan pasangan suami isteri yang mengalami masalah Mandul, mereka dalam keadaan sunyi, tertekan, rasa malu, hilang kenyakinan, dan terlalu banyak perkara negatif yang sentiasa menggangu emosi dan perasaan. Namun bagi setiap pasangan yang mengalami masalah ini, pasti mereka tidak berdiam diri membiarkan keadaan mereka sedemikian rupa. Kerana hidup ini tidak bermakna sekiranya suara tawa, tangisan anak-anak permata hati bersama tidak dapat didengari dalam ruang rumah setiap pasangan, ketika menyambut kepulangan dari tempat kerja, makan bersama, bersenda gurau, maka wajah dan kaerenah anak mampu menjadikan setiap pasangan semakin bahagia.

Namun masih ada lagi perkara yang amat penting difikirkan bagi setiap pasangan untuk mendapatkan zuriat ini yang akan menjadi penyambung kepada keturunan mereka.

PEJUANG MANDUL...

Kita semua kurang menyedari sebilangan kecil mahupun besar sebenarnya dalam perjuangan ini juga kita mengalami krisis Pejuang yang mandul. Apabila majlis akad Nikah kita dengan Pejuangan diadakan maka kita telah berjanji kepada dia untuk kita melahirkan seramai yang mungkin anak-anak yang akan meneruskan perjuangan ini. Jika telah beristeri dua, pastinya hak yang saksama perlu kita sama ratakan. Apa perasaan isteri kita yang pertama sekiranya kita memberikan kasih sayang dan perhatian yang lebih kepada isteri kita yang kedua

eh.. bukan topik hirau @ pun tidak yang ana cuba lemparkan pada tulisan kali ini, tetapi krisis mandul dikalangan pejuang yang tidak dihiraukan oleh kita sebenarnya akan memberi kesan buruk pada jangka masa panjang keatas survival perjuangan.

Sebagai anak-anak Gerakan Mahasiswa Islam yang telah melansungkan perkahwinan dengan perjuangan ini, sekiranya kita tidak berjaya untuk melahirkan anak-anak yang akan meneruskan perjuangan ini, maka kita tidak boleh berdiam diri, usaha demi usaha perlu kita cari untuk mengembira hidup isteri (perjuangan) kita yang sentiasa mendambakan kasih sayang dan karenah anak-anak yang akan menghiburkan kehidupan suami dan isteri (perjuangan) kita.

Aduh... kenapa perasaan resah, malu, dan ingin berusaha tidak hadir kepada kita yang mandul dalam perjuangan ini? Kita perlu berusaha untuk melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia, berjiwa pejuang, berakhlak mulia, rendah diri, dan anak-anak yang yang berjiwa pemimpin yang lebih hebat dari ibu bapanya. Seruan ini ana lontarkan kepada seluruh suami isteri yang telah berkahwin dengan perjuangan, agar kita tidak menjadi mangsa kepada keadaan yang akan menjadikan kita skeptic, sekiranya kita berterusan dengan penyakit mandul dalam perjuangan.

Sebagai seorang ayah dan ibu kepada anak-anak, pastinya kita inginkan anak-anak kita menjadi seorang yang lebih hebat dari mereka, begitu jugalah apa yang kita kehendaki kepada anak-anak kita hasil perkahwinan kita dengan perjuangan. Kerana ibu bapa mengetahui surroundings masa depan anak-anak mereka lebih mencabar dan memerlukan kepada ketahanan mental dan fizikal untuk melepasi garisan penamat yang akan menentukan kemenangan anak-anak mereka berhadapan dengan Allah.

Hubungan suami dan isteri semakin rapat dengan hadirnya zuriat yang akan menyeri kehidupan mereka, begitu jugalah hubungan kita dengan perjuangan yang juga isteri kita, sekiranya kita mampu untuk melahirkan zuriat untuk meneruskan agenda menegakkan Agama Islam diatas muka bumi, ana yakin hubungan kita dengan isteri (perjuangan) kita semakin rapat dan mesra.

p/s;

isteri pertama: perjuangan

zuriat: pelapis penerus perjuangan (anak-anak smart circle)

Sahabat... kemenangan ISLAM tak pernah bermula dengan kekuatan tubuh badan, kekuatan persejantaan, dan kekuatan kebendaan... tetapi ISLAM bermula dengan kemantapan AQIDAH.

Message POKSU LIE kepada seorang rakan ana...