Saturday, April 25, 2009

ISU MURTAD TANAH AIR... KITA AKAN MEMPERTAHANKANNYA.
(PENJELASAN DARI PMRAM)

sila layari lamam web rasmi pmram www.pmram.org
1.
PENDAHULUAN

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah

  1. Status agama tiga orang anak beliau iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).
  2. Hak penjagaan anak.
  3. Status perkahwinan selepas pengislaman.

2. STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM

2.1 Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.

Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:

Pandangan Pertama:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah[1].

Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:

عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ  قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني .

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua:

Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam.

Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.

Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah[2].

Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

2.2 Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.

Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:

a) Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya[3].

b) Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy ( الثوري ) .[4]

c) Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.

3. HAK PENJAGAAN ANAK

3.1 Pendapat Ulamak

Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang bukan Islam tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.

Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.

Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:

حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه[5]

Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut). Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).

Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:

1) Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)

2) Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalah tamat waktu hak penjagaan[6]. Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan[7].

3.2 Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku

1) Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.

2) Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.

4. STATUS PERKAHWINAN SELEPAS PENGISLAMAN SALAH SEORANG SUAMI ISTERI

4.1 Pendapat Para Ulama

Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa(tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya). Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan [8].

Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh[9]. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi[10].

Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.

4.2 Hak Pemberian Nafkah[11]

  1. Nafkah kepada anak
    1. Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.
  2. Nafkah kepada isteri
    1. Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.

Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Disediakan oleh;

Fellow MANHAL PMRAM 2009

Hasil kajian:

1. Saudara Syed Abdul Qadir Al-Jofree

2. Saudara Abd Rahman Mohd Tharin

3. Saudara Mohd Nazrul Abd Nasir

4. Saudara Hairul Nizam Mat Husain


[1] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[2] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/270.

[3] Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.

[4] Sila lihat al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah 4/271. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.

Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.

Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.

[5] Musnad al-Imam Ahmad bin Hambal, hadis 23807 jilid 5 mukasurat 446 Darul Nasyr, Muassasah Qurtubah

[6] Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.

[7] Fiqh al-Islami wa Adillatuhu jilid 7 mukasurat 727-728 cetakan Darul Fikr Cetakan Kedua 1985

[8] Bada'ie Sana'ie, Imam al-Kasani, m.s 1558 jilid 3.

[9] Mughniyul Muhtaj, Khotib as-Syarbini, m.s 244 jilid 3.

[10] Fiqhul Islami Wa Adilatuh, Dr. Wahbah Az-Zuhaili, m.s 7163 jilid 9.

[11] Al-Mughni, Imam Ibn Qudamah, m.s 402 - 409, jilid 7.

ABANG! KITA USAHA LAGI...

suasana sepi malam diselembungi kegelapan menyerap masuk kesepian dalam diri. Datang si isteri dampingi suami dengan penuh kasih sayang. agar hadirnya dapat memberi sedikit ketenangan kepada suami yang tercinta… berbual berbicara pada cerita suka duka bersama, butir-butir air mata mula membasahi pipi, suara sayu tangisan diantara mereka mula beralun berlagu bersama cengkerik bermadah seperti pungguk yang rindukan bulan.


Isteri; abang! Sayang rasa sunyi jer hidup ini kan...

Suami; entahlah, abang terasa dalam kehidupan kita berdua ini macam ada yang kurang jer...

Isteri; abang! Kita cuba cari pakar lain pulak lah ya...sayang dengar kat kuantan ada satu klinik pakar untuk kes macam kita ni...

Suami; sayang!abang bukan tak nak lagi berusaha...tetapi kekadang datang putus asa dalam hidup abang ni...kita dah banyak berusaha...tapi kesudahan yang sama juga kita dapat.

Isteri; sikap putus asa tu kan tak baik kepada orang Islam, apalah abang ni... tak baiklah cakap begitu... Allah kan suruh kita sentiasa berusaha... mungkin disana ada hikmahnya...

Suami; Sayang! Abang mintak maap... abang rasa terlalu bersalah... insyalah, kita pergi ke Kuantan hujung minggu ni ya...insya Allah.

Ana cuba bawakan perasaan pasangan suami isteri yang mengalami masalah Mandul, mereka dalam keadaan sunyi, tertekan, rasa malu, hilang kenyakinan, dan terlalu banyak perkara negatif yang sentiasa menggangu emosi dan perasaan. Namun bagi setiap pasangan yang mengalami masalah ini, pasti mereka tidak berdiam diri membiarkan keadaan mereka sedemikian rupa. Kerana hidup ini tidak bermakna sekiranya suara tawa, tangisan anak-anak permata hati bersama tidak dapat didengari dalam ruang rumah setiap pasangan, ketika menyambut kepulangan dari tempat kerja, makan bersama, bersenda gurau, maka wajah dan kaerenah anak mampu menjadikan setiap pasangan semakin bahagia.

Namun masih ada lagi perkara yang amat penting difikirkan bagi setiap pasangan untuk mendapatkan zuriat ini yang akan menjadi penyambung kepada keturunan mereka.

PEJUANG MANDUL...

Kita semua kurang menyedari sebilangan kecil mahupun besar sebenarnya dalam perjuangan ini juga kita mengalami krisis Pejuang yang mandul. Apabila majlis akad Nikah kita dengan Pejuangan diadakan maka kita telah berjanji kepada dia untuk kita melahirkan seramai yang mungkin anak-anak yang akan meneruskan perjuangan ini. Jika telah beristeri dua, pastinya hak yang saksama perlu kita sama ratakan. Apa perasaan isteri kita yang pertama sekiranya kita memberikan kasih sayang dan perhatian yang lebih kepada isteri kita yang kedua

eh.. bukan topik hirau @ pun tidak yang ana cuba lemparkan pada tulisan kali ini, tetapi krisis mandul dikalangan pejuang yang tidak dihiraukan oleh kita sebenarnya akan memberi kesan buruk pada jangka masa panjang keatas survival perjuangan.

Sebagai anak-anak Gerakan Mahasiswa Islam yang telah melansungkan perkahwinan dengan perjuangan ini, sekiranya kita tidak berjaya untuk melahirkan anak-anak yang akan meneruskan perjuangan ini, maka kita tidak boleh berdiam diri, usaha demi usaha perlu kita cari untuk mengembira hidup isteri (perjuangan) kita yang sentiasa mendambakan kasih sayang dan karenah anak-anak yang akan menghiburkan kehidupan suami dan isteri (perjuangan) kita.

Aduh... kenapa perasaan resah, malu, dan ingin berusaha tidak hadir kepada kita yang mandul dalam perjuangan ini? Kita perlu berusaha untuk melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia, berjiwa pejuang, berakhlak mulia, rendah diri, dan anak-anak yang yang berjiwa pemimpin yang lebih hebat dari ibu bapanya. Seruan ini ana lontarkan kepada seluruh suami isteri yang telah berkahwin dengan perjuangan, agar kita tidak menjadi mangsa kepada keadaan yang akan menjadikan kita skeptic, sekiranya kita berterusan dengan penyakit mandul dalam perjuangan.

Sebagai seorang ayah dan ibu kepada anak-anak, pastinya kita inginkan anak-anak kita menjadi seorang yang lebih hebat dari mereka, begitu jugalah apa yang kita kehendaki kepada anak-anak kita hasil perkahwinan kita dengan perjuangan. Kerana ibu bapa mengetahui surroundings masa depan anak-anak mereka lebih mencabar dan memerlukan kepada ketahanan mental dan fizikal untuk melepasi garisan penamat yang akan menentukan kemenangan anak-anak mereka berhadapan dengan Allah.

Hubungan suami dan isteri semakin rapat dengan hadirnya zuriat yang akan menyeri kehidupan mereka, begitu jugalah hubungan kita dengan perjuangan yang juga isteri kita, sekiranya kita mampu untuk melahirkan zuriat untuk meneruskan agenda menegakkan Agama Islam diatas muka bumi, ana yakin hubungan kita dengan isteri (perjuangan) kita semakin rapat dan mesra.

p/s;

isteri pertama: perjuangan

zuriat: pelapis penerus perjuangan (anak-anak smart circle)

Sahabat... kemenangan ISLAM tak pernah bermula dengan kekuatan tubuh badan, kekuatan persejantaan, dan kekuatan kebendaan... tetapi ISLAM bermula dengan kemantapan AQIDAH.

Message POKSU LIE kepada seorang rakan ana...

Wednesday, March 25, 2009

cerita ku... padamu.





لقد أكلت يوم أكل الثور الأبيض



Jom kita berkongsi dengan satu cerita yang sempat ana nukilkan dari teman ana yang ketika berbual petang bersama. Cerita ini menceritakan ada sekawan lembu yang terdiri daripada lembu merah, lembu hitam, dan lembu puteh, ketiga-tiga ekor mereka ini hidup bersama, mereka bertiga berpegang dengan prinsip susah senang kita bersama. Mereka bertiga tinggal dalam kawasan hutan yang banyak rumput segar untuk dijadikan makanan harian mereka.

Dalam hutan tersebut juga terdapat seekor singa yang ganas. Sinar jelingan mata kelaparan singa ini menyebabkan mereka sentiasa bersama untuk melindungi diantara satu sama lain. Jika bersama, maka harimau ini agak susah untuk menerkam salah seekor dari kalangan mereka, tetapi jika sendirian berasingan… ia akan menjadi habuan kepada harimau yang kelaparan itu. Pada satu hari singa ini telah menemui satu helah untuk memastikan perutnya tidak akan mendedangkan lagu kelaparan lagi selepas ini. Tanpa berlengah-lengah, si singa terus mengadakan pertemuan sulit dengan lembu merah dan lembu hitam. Topik keselamatan menjadi agenda utama dalam perbincangan diantara mereka…

singa; Assalamualaikum lembu merah, lembu hitam!

Lembu merah; waa’alikumusssalam…

Lembu hitam; oh..singa..

singa; kamu apa kabar berdua? Kamu jangan takut..aku bukan nak makan kamu... aku Cuma nak berbual dengan kamu sahaja…

Lembu merah; ooo… Alhamdulillah, ingatkan tadi musuh akan sentiasa menjadi musuh… tapi kamu singa baik rupanya.

singa; dalam fikirannya (he…he… jadi umpan aku lembu merah ni) eh… warna kamu lembu merah dan lembu Hitam seperti warna aku lah… tetapi warna lembu puteh itu jauh berbeza dari kita bertiga kan..

lembu hitam; oh..betul jugak kata kamu singa…

singa; aku bukanya apa… kawasan ini sudah menjadi tumpuan pemburu. Aku takut disebabkan warna lembu puteh yang agak berlainan dari kita akan memudahkan pemburu untuk menjejaki kita. Terlalu bahaya kepada kita…

lembu merah; jadi… apa pandangan kamu?

Singa; aku berpandangan, apa kata, jika biarkan aku makan sahaja lembu puteh itu supaya tempat kita selamat dari dijejaki pemburu…(singa senyum sinis jer..)

Maka lembu merah dan lembu hitam, tanpa memikirkan hubungan persaudaraan mereka bertiga sebelum ini, dengan mudah mengatakan; makanlah lembu puteh itu… wahai singa… maka hilanglah rakan mereka menjadi mangsa kepada helah singa yang dianggap baik oleh lembu merah dan lembu hitam tanpa menyedari itu merupakan tipu daya dari singa…

Pada minggu seterusnya datang pulak singa kepada lembu merah

Singa; lembu merah! Adakah kamu tidak lihat warna lembu hitam jauh berbeza dari kita berdua. Aku bukannya apa, aku risau keadaan keselamatan kita disini. Aku amat risau sekiranya si pemburu dapat menjajaki kita disebabkan warna lembu hitam yang berbeza dengan kita berdua.

Lembu merah; aku pun rasa warna lembu hitam mudah dilihat oleh si pemburu…jadi apa cadangan kamu singa?

Singa; demi keselamatan kita disini, apa kata, biarkan sahaja aku makan lembu hitam…

Perkara yang sama sekali lagi berlaku apabila nasib lembu hitam sama dengan lembu puteh sebelum ini. Lembu merah melihat sahaja rakan-rakannya dimakan oleh singa didepan mata tanpa melindungi lembu hitam dan lembu puteh.


Akhirnya, pada keesokan hari, datang singa kepada lembu merah, dengan tawa berdahak-dahak kegembiraan kerana helahnya menjadikan lembu sekawan mangsa untuk menyepikan bunyian muzik dan lagu kelaparan telah Berjaya. Singa telah berkata kepada lembu merah, ”hari ini tidak mustahil aku dapat makan kamu wahai lembu merah, kerana dahulu amat payah kerana kalian bertiga saling mempertahankan diantara satu sama lain, tetapi pada hari ini kamu sendirian tanpa lembu hitam dan lembu puteh..ha..ha..ha.. kamu pentingkan diri sendiri… kamu kianati persaudaraan kamu bertiga selama ini…”.

Maka terlintaslah dibenak pemikiran lembu merah nostalgia bersama dengan lembu puteh dan lembu hitam pada ketika saling mempertahankan diantara satu sama untuk berdepan melawan singa yang ganas ini. Maka lembu merah pun berkata dengan penuh penyesalan; " لقد أكلت يوم أكل الثور الأبيض"

“ Sesungguhnya aku telah dimakan pada waktu lembu puteh dimakan ”

Ana tinggalkan cerita ini untuk rakan-rakan pembaca membuat ulasan dalam apa sahaja aspek. Agar ia dapat memberi kepada kita satu

Friday, March 20, 2009

DPM DAN PMRAM...

Entah apa yang perlu ana menulis untuk kali ini… sepanjang minggu kedua ni, penat Badan Pengurus untuk ke Muhafazah, mahu tidaknya, boleh dikatakan semua Dewan Perwakilan Mahasiswa DPM menganjurkan program MEGA, dari DPM Syubro hingga ke Dumyat, dalam minggu DPM juga kepimpinan PMRAM telah mengatur Ziarah Mesra Kepimpinan PMRAM 09 bersama dengan ahli-ahli di seluruh muhafazah…

Alhamdulillah rata-ratanya ana dapat lihat keunikan setiap program yang telah dianjurkan oleh setiap DPM, ana hanya sempat hadir beberapa DPM sahaja mengikut jadual yang telah ditentukan oleh lajnah Muhafazah, apa yang manisnya apabila dapat turun ke kampong lama ana (TANTO) merasmikan Program eminent 09 yang merupakan program mega tahunan DPM. Yelah dapat jengok wajah-wajah rakan-rakan seperjuangan yang pernah bersama dalam memperjuangkan perjuangan mahasiswa disana. Pada awalnya agak berat untuk menerima permintaan presiden PMRAM untuk menggantikan beliau yang sepatutnya merasmikan program tersebut, namun kesibukan tuan presiden yang terpaksa berada dalam mesyuarat penting akhirnya ana dapat jejakkan juga kaki ana di bumi Badawi. Alhamdulillah ada rakan yang sudi temankan ana untuk ke Tanto, pertama kali makan ubat tahan muntah, dalam perjalanan ke tanta badan mula seram sejuk jer, ingatkan tak dapat ceramah dah, tapi alhamdulillah, bila tengok jer muka pemuda-pemuda yang seri wajahnya memancarkan cahaya perjuangan, akhirnya semangat tiba-tiba datang...

Peluang yang datang tidak datang berkali-kali...

Dalam kesempatan yang ada, dah ler jarang-jarang sekali dapat jengok Tonto. Ana dan Kudin mulakan gerak kaki untuk lawat rumah kawan-kawan. Rumah ustaz Fadhil noor dan Ustazah Shahidah antara destinasi pertama...dah lama terniat dalam hati nak pergi juga rumah kawan ana ni, ust Fadhil datang sekali dengan ana tahun 2005 dan ustazah Shahidah pulak SU HEWI PMRAM 08, itulah kali pertama ana sampai ke rumah mereka selepas mereka diijabkabulkan. Sempat jengok rumah yang ana kerap jalan dulu Imarah Ustaz Jai (tok Bomoh Bekam), sunyi jer... sapa suruh jalan waktu pagi... seterusnya pegi rumah pengerusi Perubatan Chapter Tanto DR Zulkifli Muhammad...seorang rakan yang mempunyai jiwa kepimpinan dalam memimpin PCT. Tiba2 pulak ada rakan perubatan Mansurah Hanif dan fatah... tak besar mana pun kan dunia ni, Allah maha kuasa untuk temukan mereka-mereka yang jauh untuk berada didepan mata... seperti mana ana dengan abang-abang, adik, ayah, mak, pakcik dari Palestine yang pernah disangka-sangka untuk bertemu, tapi akhirnya dapat juga menatap wajah-wajah pejuang yang mempertahankan tanah suci Palestine itu, Alhamdulillah...bersyukur. yang sedihnyer, rumah lama tak sempat nak pergi jengok...banyak nostalgia lama yang di kamsis Qalyubi... teriakan suara anak-anak kecil yang sentiasa menunggu untuk bermain bersama, seronok dengan anak-anak kecil arab,”hanafi...hanafi..!zaiyyak? nala’bul kurrah maak”. Dulu main bola pun dengan budak-budak... yang lama biarkan menjadi nostalgia sebagai coretan hidup yang akan mewarnai petak ranjau kehidupan. Kepada kawan-kawan yang ana tak sempat ziarah, ana mintak maap lah yer...insyallah ada kesempatan waktu, kita jalan semua rumah, rumah Tonto Scan, Syarie Fateh...Kubri, Saidnawi...luasnya tanto..

Ana di Syibin...

Kali ini ana bersama dengan Ustaz rasul, Ustaz Nik Rosdi, Ustaz Azrul ke Syibin untuk Jaulah kepimpinan Badan pengurus PMRAM bersama dengan ahli DPM Syibin. Sekali pun bilangan ahli DPM Syibin semakin kurang disebabkan tidak ada mahasiswa baru yang didaftarkan di Universiti Al-Azhar cawangan Syibin dan kepulangan mahasiswa tahun akhir, namun, semangat Ukhuwwah dikalangan mereka dapat dilihat dengan kemesraan sesama mereka yang cukup lain daripada yang lain. Apapun gunalah peluang ini untuk memantapkan hubungan Ukhuwwah fillah sesama antum, kerana itu merupakan peluang yang Allah telah berikan kepada kalian dan mungkin kerana kekuatan ukhuwwah fillah yang erat ini dapat dikekalkan, nescaya elemen pepecahan tidak mampu untuk menyelinap masuk. Kita mengharapkan DPM Syibin dapat melahirkan kepimpinan yang dapat memahami ISLAM dengan jelas.

Kembali ke Tanto...

Sekali lagi kembali ke Tanta, kali ini berada dihadapan bersama dengan panel-panel yang hebat untuk mengupas tajuk forum MAHASISWA MESIR PENERAJU KEPIMPINAN NEGARA. Terasa kekerdilan apabila terpilih untuk membarisi kursi panelis. Ustaz wan Saifullah yang merupakan kepimpinan mahasiswa di Kampus UTM jalan semarak. Begitu tinggi semangatnya untuk menyambung pengajian diperingkat sarjana muda di Universiti Al-Azhar walaupun sudah berjaya memilik diploma dalam bidang teknikal engineering. Ana ucapkan tahniah kerana terpilih untuk berada di bumi ilmu dan pentarbiaahan yang akan membentuk jati diri kepimpinan sebagai pemimpin masa depan yang memimpin rakyat kelak. Forum kali ini telah mempertemukan ana sekali lagi dengan serikandi yang pernah berjuang bersama-sama dalam kepimpinan Persatuan Mahasiswa Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (PMKIAS) Nilam Puri yang pada ketika itu beliau sebagai Pengerusi HEWI PMKIAS. Dulu beliau berada di kerusi panel sebagai seorang mahasiswa single tapi alhamdulillah sekarang berada dikerusi panel sebagai seorang mahasiswa yang berstatuskan seorang isteri... tapi ana masih kekal dengan status lama lagi... pada malam tu pun Ustaz Yusri turut menjadi hangat dengan celoteh Ustaz Jamal bakal Badan Pengurus PMRAM 2009...

Kitalah pemimpin harapan...

Mahasiswa Islam Mesir! Kita pernah diberi kepercayaan dan keyakinan oleh rakyat untuk memimpin... dan sehingga sekarang apa yang berlaku terhadap segelintir graduan mahasiswa Mesir yang pulang mereka hanya sekadar mengutip kulit-kulit kerang ditepian pantai sebagai usaha untuk mengumpul kemewahan bagi menjamin kesenangan hidup dengan Isteri...anak-anak...bayar hutang kereta, sewa rumah. Jika berkata benar terhadap perkara yang salah, rezeki kami akan terganggu, siapa yang akan bayar semua ini...?

Sedihnya...kekuatan iman terhadap Allah pemberi rezeki hilang sedikit demi sedikit kerana resah dengan kesempitan hidup... sesiapa yang bekerja keras untuk akhirat nescaya dunia akan mengejarnya...jadi waspadalah dengan fitnah yang pernah membunuh ribuan pejuang yang pernah membarisi barisan hadapan perjuangan ini. “Ya Allah! Tetapkanlah hati-hati kami dalam agamamu, ketaatanmu, dan jihad dijalanmu”. Kekanda nasarudin pernah berkata dalam pidatonya di DPM tanto pada tahun 2006, beliau merupakan antara pengasas pembentukan DPM Tanta yang sehingga sekarang sebagai cawangan PMRAM dan tempat untuk Anak-anak melayu bersatu dengan idealisme perjuangan mahasiswa. Bicara beliau: “kami (rakyat Malaysia) pernah memberi keyakinan dan kepercayaan kepada Mahasiswa Mesir untuk memimpin. Namun kini kepercayaan kami semakin menghakis dan tinggalnya keyakinan kami kepada kalian, jesturu itu, kembalikanlah kepercayaan kami kepada kalian untuk memimpin agar tidak hilang selepas ini keyakinan kami yang selama ini masih mekar mewangi”.

DPM Syubro teruskan perjungan...

kuatnya harimau kerana taringnya

Gagahnya gajah kerana gadingnya

Hebatnya mahasiswa kerana beraninya mereka menyatakan kebenaran...

Syubro... yang lebih dikenali dengan MAQAZ SYUBRO cukup terkenal dengan lubuk penggerak kepada PMRAM, alhamdulillah patah tumbuh silih berganti, kepimpinan baru sentiasa hadir untuk membawa idealisme perjuangan Mahasiswa dan bersedia untuk korbankan segalanya untuk memartabatkan slogan inteleginsia rakyat. Maka kita terpilih untuk berada dalam intitusi mahasiswa yang pernah menggegarkan politik negara-negara seperti, Korea, Iran, Indonesia, termasuk negara kita pada sekitar tahun 70-an. Dan kini kita akan terus berusaha agar Kuasa ketiga dalam negara selapas rakyat dan ahli politik dapat dikembalikan. Maka proses penerapan kesedaran dalam jiwa mahasiswa seharus dirancakkan agar mereka mengetahui peranan mereka berada diposisi keramat ini.

Dalam perasmian pada kali ini, ana lebih suka berpidato dalam nada semangat mahasiswa. Agak berlainan sedikit dengan ucapan-ucapan sebelum ini di DPM Syubro, kerana ana yakin mahasiswa apabila mereka diberi peluang untuk mengembalikan naluri mereka yang terpendam nescaya ia akan menghasilkan gelombang thunami yang mampu untuk meruntuhkan segala tekanan yang mereka hadapi selama ini...

Salam perjuangan mahasiswa

Diari biru



Diari biru…


engkau hadir ketika hiba menanti kehidupan

senyum yang ku lontarkan buatmu ketika engkau hadir

masih dapat ku kenangi

engkau merentasi Benua Afrika

beradu seketika di perlembahan Nil

sekadar hanya untuk menjadi teman yang sedang menanti


Diari biru…


engkau tempat coretan sketsa hidupku

dalamnya telah ku ceritakan cerita hati

ku penuhi dengan lakaran hidup sebagai seorang sepi

semangat yang ada pada mu ku berkongsi

dalammu diari biru…

ku bicara bersendiri


Diari biru…


Senyum itu tetap ku beri

Pada cerita yang dapat dikongsi

buat tatapan anak cucu ku nanti

sebagai penyeri teladan bistari…

Cairo [Rumah Sewa]

19 March 2009

Khamis

03.43pm[Waktu Cairo]