Friday, March 20, 2009

AKU DAN NASIHAT...







gambar kenangan bersama dengan kepimpinan PMRAM 09...






apabila pintu ditutup maka terbukalah tingkap-tingkap”


Hari ini apabila seorang rakan serumah telah memberi satu ungkapan arab kepada ana ketika dalam perjalanan menghantar dia ke Rumah Baru Kelantan RKB KPKM, dia bersama-sama dengan barisan kepimpinan KPKM akan ke Damanhur dalam misi lawatan kerja untuk menziarahi anak-anak Kelantan yang berada sekitar Bumi Damanhur… eh..apa yer ungkapan tersibuk? Oklah ini dia… Iza Ughliqat al-bab infatahat al-nawafiz yang bermaksud; “apabila pintu ditutup maka terbukalah tingkap-tingkap”. Pada awalnya ana suka jer apabila mendengar apa yang telah diunggapkan oleh rakan ana ni… tapi apabila dia turun dari kereta, dia cakap ungkapan itu sebagai upah menghantar dia ke Rumah Kelantan Baru… kalau dengan teksi harganya mungkin le 2.50. Tapi sebenarnya harga ungkapan tersebut cukup mahal dan tidak ternilai harganya kepada ana, mungkin melihat kepada raut wajah ana yang kedut kerut bermasalah, dia lemparkan kepada ana ungkapan itu.


Sebenarnya jika satu pintu yang menjadi peluang kepada kita tertutup jangan kita lupa terlalu banyak tingkap dibuka untuk menjadi peluang kepada kita mencapai sesuatu perkara dalam hidup ini, berfalsafah begini mampu memberikan kita semangat untuk terus berusaha dan jangan cepat putus asa jika menghadapi sesuatu masalah. Sebenarnya kita perlukan kekuatan untuk menjadi benteng pertahanan dalam menghadapi sebarang masalah. Diantara kekuatan dalaman yang perlu kepada kita:

· Keimanan yang kental.

Hidup mati, suka duka, jodoh, rezeki kesemuanya telah ditentukan oleh Allah. Sebagai seorang pejuang agama ISLAM, maka jika terpersoal dalam jiwa kita kenapa aku diuji begini?kenapa tidak orang lain? maka ayuh kita muhasabah diri kita... kenapa kita masih takut berjuang hanya kerana sebungkus wang pinjaman, biasiswa, zakat, dan bantuan...tidakkah kita menyakini bahawa yang menentukan kita untuk mendapat kesemua itu adalah ALLAH, kenapa kita takut pula untuk mempertahankan kesucian ISLAM disebabkan kerana takut sekatan terhadap bantuan kita itu...?, yang akan menentukan samada kita layak ataupun tidak juga Allah yang esa.


· Ikhlas

Inilah perkara yang amat dituntut dalam perjuangan, kita berjuang untuk menegakkan agama Allah ini bukan kerana ia akan memberi ruang meja pejabat dalam jabatan, kementerian. Kita juga tidak berjuang kerana secebis kertas yang akan bernilai untuk membeli rumah, kereta, tanah... jwapannya tidak sama sekali kita tidak akan berjuang untuk mendapat geleran ulamak dan pemimpin rice cooker. Sucikan niat para pejuang dari semua itu... manisnya perjuangan kerana keikhlasan yang terpahat dalam hati kita.


· Kesabaran

Kerana kekuatan inilah Saidina kita Nabi Muhammad SAW telah mendapat gelaran U’lul A’zmi. Kerana kesabaran yang berada dalam diri Nabi Muhammad SAW, Nabi Muhammad SAW sanggup membiarkan darah sucinya mengalir di Thoif , sanggup menerima cemuhan kaum kerabat dan penduduk setempat, sanggup meninggalkan tanah air, sanggup berjuang hingga patah giginya... Ya Rasulllullah! Kenapa begitu tinggi kesabaran mu...?kenapa engkau sanggup lakukan semua itu..? kami malu dengan sikap malas kami, sikap leka kami..


· Tidak takut sebarang celaan

Allah pernah berfiman: “ wahai orang yang beriman! Barangsiapa dari kalangan mereka yang telah beriman telah keluar dari agama ini selepas keimanan mereka dengan janji Allah...Allah akan mendatangkan satu golongan yang Allah mengasihi mereka dan mereka mencintai Allah, bersikap lemah lembut sesama orang yang beriman, bersikap tegas dengan golongan Kuffar yang menentang agama ini, mereka berjihad dijalan Allah(untuk meninggikan kalimah Allah) dan mereka sama sekali tidak takut dengan sebarang celaa terhadap mereka...”

Dalam ayat diatas terbukti diantara ciri golongan yang akan menggantikan mereka yang tidak menghiraukan perjuangan suci ini adalah mereka yang memiliki kekuatan tidak gentar sebarang celaan yang mendatang diatas usaha mempertahankan perjuangan ISLAM.


· Tidak mudah berputus asa

Berputus asa dalam menjalankan kerja ISLAM merupakan diantara pembunuh kepada para pemuda-pemuda ISLAM, inilah yang akan mematikan hasrat dan cita para pemuda yang tinggi untuk bersama dalam gerakan kebangkitan ISLAM. Allah telah berfirman: “dan jika kami rasakan kepada manusia rahmat(nikmat) dari kami nescaya mereka akan gembira, dan apabila kami timpakan kepada mereka musibah disebabkan kesalahan yang mereka lakukan, tiba-tiba pada ketika itu mereka berputus asa”. Al-Rum;36


Begitu juga dengan pesanan Nabi Allah Yaakub AS terhadap anak-anaknya agar jangan berputus asa, kerana sikap itu merupakan satu sikap yang hanya layak wujud dalam diri orang kafir melalui firman Allah; “ Hai anak-anakku! Pergilah kamu, maka carilah berita tentang yusuf dan saudaranya dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Alla, melainkan kaum yang kafir”. Yusuff;87.


Kekuatan dalaman ini dicatat oleh Murabbi Abdullah Naseh U’lwan dalam kitabnya Silsilah Madrasah Duat sebagai sikap dalaman yang perlu ada kepada para daei, namun jika diperhatikan, sifat-sifat inilah sebagai kekuatan yang mampu menjadi benteng yang mampu membantu kita sebagai pejuang agama Allah.

Dalam berjuang untuk mempertahankan ISLAM ini, terlalu banyak ujian yang Allah akan pakaikan kepada kita sebagai pakain besi yang akan menjadi satu penilaian kepada Allah untuk memilih dan menentukan mereka-mereka yang telah berjaya untuk membarisi barisan perjuangan suci ini. Ujian hati yang sentiasa mendambakan cinta… ujian hidup yang sentiasa mendesak agar seluruh tubuh dibaluti dengan hiasan kesenangan, iman diuji adakah cinta ALLAH dan RASUL mampu membatasi cinta manusia… yang sentiasa meminta agar korbankan masa, tenaga, wang, fikiran, perasaan untuk mempertahankan ISLAM.

Justeru itu, nasihatlah diri kita agar dapat meneruskan perjuangan dalam apa jua sekalipun cabaran dan rintangan. Kerana Allah pernah berfirman; “barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan baginya jalan penyelesaian kepada sebarang masalah dan akan memberi rezeki yang tidak disangka-sangka”.

Hidup kita sentiasa diuji dengan pelbagai bentuk, dan ujian itu mengikut kekuatan dan kelonggaran iman seseorang itu... semakin tinggi imannya semakin kuat ujiannya, jika lemah imannya, maka ujiannya sekadar iman yang dimilikinya. Doakanlah ana dan pimpinan dapat istiqamah dalam perjuangan yang suci ini.

Salam Perjuangan...

No comments: